Monday, August 18, 2008

Selamat Bercuti

Salam Sejahtera kepada rakan-rakan KSPK sekalian.

Cuti intra-semester ini menandakan bahawa latihan praktikum kita telah berakhir. Syabas diucapkan kepada semua kerana telah menyempurnakan satu misi yang penting dalam kursus kita. Pastinya ramai yang rasa lega selepas enam minggu bergelut dengan pelbagai cabaran dan emosi di sekolah masing-masing.

Dalam tempoh lebih kurang satu minggu ini, gunakan masa yang terhad ini untuk melapangkan fikiran dan mengembalikan segala tenaga yang telah habis dikerah di sekolah.

Pergilah jalan-jalan dengan keluarga tersayang atau baliklah ke kampung menjenguk saudara mara yang sudah lama ditinggalkan. Atau temankanlah saya menonton Sukan Olimpik yang sedang berlangsung di Beijing.

Ini kerana selepas balik IPRM nanti, kita bakal dilanda tsunami assignment lagi. Kadang-kadang apabila terfikir lambakan kerja tugasan ini, rasa geram betul kerana tidak faham kenapa kursus setahun yang cuma bertaraf sijil ini dibebani dengan begitu banyak assignment.

Lagilah geram apabila mendapat tahu Kursus Diploma Pengurusan Kaunseling anjuran IAB cuma memakan masa setengah tahun sahaja!!

Namun kekadang terasa juga bahawa membuat banyak assignment ini mungkin ada hikmahnya. Kalau rajin buat assignment, banyaklah pengetahuan yang boleh diperolehi. Kalau banyak kesusahan yang kita tempuhi, lagi tinggilah darjah empati kita terhadap kesengsaraan klien nanti.

Mungkin elok juga kita mengambil sikap yang positif dalam hal ini. Buatlah yang terbaik. Jangan pula beri banyak masalah kepada pensyarah. Apa kata kita hadapi cabaran-cabaran semester akhir ini dengan lebih bersemangat lagi.

Jom kita gempur semester baru ini dengan satu hati!

No comments: