Wednesday, July 30, 2008

Dah separuh jalan, teruskanlah!

Salam sejahtera dari SMK Dato' Haji Mohd. Redza.

Apa khabar kawan-kawan KSPK sekalian? Semoga semua berada dalam keadaan sihat-walafiat. Kini sudah masuk pertengahan minggu keempat praktikum kita. Teman dan Pak Abu sibuk dengan urusan-urusan di sekolah: sibuk menjalankan sesi B&K dan sibuk mengendalikan program sekolah.

Baru Sabtu lepas, sekolah kami menjadi tuan rumah kepada Karnival Pendidikan Pencegahan Dadah peringkat negeri dan kami berdua terlibat sebagai AJK Pertandingan Dikir Barat. Jumaat ini pula, Pak Abu akan membawa sekumpulan pelajar ke UKM untuk satu lawatan sambil belajar sementara teman pula diberi satu slot ceramah motivasi untuk pelajar-pelajar bukan Muslim.

Dalam kesibukan kami, kami telah tiga kali dikunjungi pensyarah penyelia, Tn Hj Zulkifli bin Maulud. Daripada kunjungan-kunjungan tersebut, kami dapati bahawa penyelia kami ini sebenarnya seorang yang amat teliti dan profesional dalam kerjanya. Dengan demikian, espektasi beliau terhadap kerja-kerja kami juga amat tinggi. Banyaklah teguran-teguran dan kritikan-kritikan, yang ada kalanya sinis, yang kami terima. Namun kesemua tunjuk ajar itu kami terima dengan hati yang terbuka kerana kami tahu beliau hanya mahu yang terbaik daripada kami. Cuma kami harap beliau tidak terlalu kecewa dengan kelemahan-kelemahan yang ada pada kami.

Meskipun begitu, kami sebenarnya merasa amat terhutang budi kepada beliau atas segala bimbingan dan keperihatinan yang ditunjukkan terhadap kami. Ia suatu pengalaman yang amat bernilai buat kami. Lantaran itu, kami berjanji akan terus memberi khidmat yang terbaik kepada pelajar-pelajar dan akan berusaha bersungguh-sungguh untuk memperbaiki segala kekurangan yang ada, khasnya dalam dua minggu lebih ini.

Kami harap rakan-rakan sekalian juga mendapat manfaat dan pengalaman yang berharga dalam latihan praktikum ini. Mudah-mudahan apa yang diperolehi dapat dijadikan bekalan yang berguna apabila balik ke sekolah (yang sebenarnya)nanti.

Selamat Maju Jaya.

No comments: