Friday, July 18, 2008

Berhati-hati Di Jalan Raya

Kring, Kring!(2X) Telefon berdering.

"Hello mak! Ini Andrew cakap. Saya akan balik hari ini, mak. Saya akan sampai rumah jam lebih kurang 7.30 malam."

"Baiklah nak!"

Dari saat itu juga, ibu Andrew sudah mula menunggu kepulangan anak kesayangannya. Kalau boleh, dia nak Andrew berada di sisinya pada waktu itu juga. Tapi apa boleh buat. Pulau Pinang, tempat Andrew kerja, bukannya sangat dekat Sitiawan. Jadi, mahu tak mahu, dia terpaksa menunggu.

Jam 7.30 malam - Andrew belum sampai. Tak apalah. Biasalah tu. Jam 8.30 malam - Andrew masih belum sampai. Sudah nampak sedikit kerisauan. Jam 9.00 malam - Andrew tak sampai-sampai juga. Semakin risau. Dan jam 9.20 malam - Tok! Tok! Tok! Tok! Tok!
Ada ketukan pada pintu.

"Ah! Andrew anakku akhirnya dah sampai."

Dengan langkah seribu harapan, ibu Andrew segera pergi membuka pintu. Dibukanya pintu. Alangkah terkejutnya apabila didapati orang yang berdiri di luar itu bukannya Andrew tetapi seorang inspektor poplis yang datang membawa berita Andrew terbunuh dalam satu kemalangan jalan raya dekat Taiping. Motosikal yang dibawanya telah berlanggar dengan sebuah lori dan Andrew mati di tempat kejadian.

Berita kematian Andrew begitu perit buat ibunya. Tiada ia sangka penantiannya boleh berakhir begitu rupa. Kemalangan cepat sekali mengubah nasib seseorang. Dalam sekelip mata sahaja, seorang ibu kehilangan anak kesayangannya yang dibelainya selama 21 tahun. Dalam sekelip mata sahaja saya kehilangan seorang kawan yang menjadi teman hidup saya sejak kecil lagi. Dan daalam sekelip mata sahaja, Andrew tinggal sebagai kenangan semata-mata.

Begitu senang sekali ia pergi tetapi begitu sukar sekali untuk diterima oleh orang-orang yang ditinggalkannya, khasnya keluarganya!

Namun apa yang berlaku ke atas keluarga Andrew itu bukanlah sesuatu yang luar biasa, yang jarang berlaku dalam hidup. Ia berlaku tiap-tiap hari kepada keluarga yang berlainan di Malaysia. Laporan polis menunjukkan purata sebanyak 530 kes kemalangan berlaku tiap-tiap hari dengan 17 kematian dalam sehari. Ini bermakna dalam tiap-tiap 3 minit akan berlaku 1 kemalangan dan dalam tiap-tiap 85 minit 1 kematian di atas jalan raya Malaysia,

Dan untuk setengah tahun ini sahaja, sehingga bulan Jun 1997, sebanyak 100 145 kes kemalangan telah berlaku membabitkan 3169 kematian. Ini satu angka yang cukup membimbangkan kerana dalam masa 6 bulan sahaja, jumlah mereka yang terbunuh dalam kemalangan jalan raya sudah melebihi jumlah semua orang yang ada di SMJK Nan Hwa ini, termasuk mereka dari sidang petang. Cubalah pelajar bayangkan betapa seriusnya masalah yang kita hadapi ini.

Namun ada kalanya, kita tidak rasa apa-apa pun melihat pada angka-angka seperti ini. Kita sudah begitu biasa dengannya sehingga kita lupa bahawa setiap angka ini ada ceritanya tersendiri. Cerita yang tragis yang mengandungi unsur-unsur seperti airmata, darah, kesakitan dan kehilangan orang yang tersayang. Mangsa kemalangan, seorang manusia, kini tinggal sebagai satu nombor sahaja dalam kiraan statistik kemalangan. Inilah yang amat menyedihkan.

Sebab utama kenapa kemalangan begitu banyak di Malaysia bukan kerana rakyat Malaysia tak pandai bawa kereta atau motor. Bukan juga kerana jalan-jalan di Malaysia terlalu licin. Tetapi kerana kepercayaan karut bahawa kemalangan itu hanya berlaku pada orang lain dan bukan pada diri sendiri.

Seolah-olah diri kita ini kebal, kuat, macam 'Superman'. Nak jadi 'Superman' atas jalan raya. Inilah kesilapan yang paling besar di dunia kerana ia boleh membuat kita, terutamanya golongan muda, leka dan lalai di atas jalan raya. Langsung mendedahkan rakyat Malaysia kepada pelbagai jenis kemalangan, termasuk juga kemalangan maut yang ditakuti.

Maut itu, para pelajar, tidak akan tunggu kita pergi kepadanya. Tidak! Tahu apa ia akan buat? Ia akan menunggu kita. Pada bila-bila masa dan di mana-mana saja. Di tepi jalan, di tengah jalan, di simpang jalan, di selekoh yang tajam, ia akan menunggu. Menunggu dan menunggu. Menunggu untuk mencengkam dan meragut nyawa orang-orang yang cuai dan ingin menunjuk-nunjuk.

Itulah sebabnya kadang-kadang apabila cikgu melihat setengah-setengah orang muda bawa motor, cikgu rasa takut. Mereka bukan sahaja tak suka pakai topi keledar tetapi juga suka berlumba-lumba atas jalan raya. Suka bawa laju-laju. Seolah-olah lebih laju lebih baik. Lebih bising, lebih bagus dan lebih bahaya, lagi seronok. Inilah yang dikatakan nak cari nahas. Kerana yang menunggu mereka dengan tangan yang terbuka itu siapa? MAUT! Yang sentiasa bersedia untuk membawa mereka ke dunia yang satu lagi. Dan sehngga ini, banyaklah yang dibawanya pergi. Banyak yang menjadi mangsa kemalangan.

Tahun ini genaplah 16 tahun kawan baik saya, Andrew, meninggal dunia. Namun dari semasa ke semasa, saya masih teringatkannya. Kerana saya masih merinduinya. Masih sayangkannya. Para pelajar sekalian, jangan biar perkara ini berlaku kepada orang-orang yang anda sayangi: kepada ibu bapa anda, keluarga anda dan sahabat handai anda. Berhati-hatilah ketika berada di atas jalan raya kerana maut itu tidaklah sejauh seperti yang disangkakan.

(Ucapan ini disampaikan di Perhimpunan Pagi SMJK Nan Hwa, Sitiawan, Perak sempena Kempen Keselamatan Jalan Raya pada bulan Ogos, 1997 demi memperingati pemergian kawan baik saya, Andrew Gong Wooi Chu, pada tangga 21.12.1981. Semoga Tuhan mencucri rahmat ke atas rohnya.)

1 comment:

Anonymous said...

Betul la Ling..... berhati-hati di jalan raya. Ingatlah orang yang tersayang....