Thursday, August 7, 2008

"Saya pulak tak boleh simpan rahsia."

Tiga orang kaunselor yang ternama menghadiri satu konvensyen kaunseling dan sedang berbicara antara satu sama lain. Lalu seorang kaunselor pun berkata, "Orang, kalau bermasalah, datang pada kita, macam mana dengan kita? Nak bagi tahu siapa?" Maka seorang lagi pun jawab, "Kita semua profesional. Macam mana kalau kita dengar masalah satu sama lain sekarang juga?" "Itu satu cadangan yang baik. Jom kita mulakan sesi," jawab yang ketiga,

Maka kaunselor yang pertama pun mengeluh, "Saya sebenarnya kaki judi. Oleh itu, saya caj klien saya mahal-mahal, melebihi yang sepatutnya, kononnya saya ini hebat sangat."

Bila tiba giliran kaunselor kedua pula, dia pun mengadu, "Saya pula sebenarnya seorang penagih dadah. Suka menggelapkan duit rakan kongsi saya untuk dapat bekalan dadah. Teruklah saya ini."

Mendengar cerita kedua-dua rakan tadi, dengan rasa penuh empati, kaunselor yang ketiga pun mengaku,"Saya lagi teruk. Saya pulak tak boleh simpan rahsia. Apa yang saya dengar saya kena hebohkan dekat seluruh dunia!"

Wednesday, July 30, 2008

Dah separuh jalan, teruskanlah!

Salam sejahtera dari SMK Dato' Haji Mohd. Redza.

Apa khabar kawan-kawan KSPK sekalian? Semoga semua berada dalam keadaan sihat-walafiat. Kini sudah masuk pertengahan minggu keempat praktikum kita. Teman dan Pak Abu sibuk dengan urusan-urusan di sekolah: sibuk menjalankan sesi B&K dan sibuk mengendalikan program sekolah.

Baru Sabtu lepas, sekolah kami menjadi tuan rumah kepada Karnival Pendidikan Pencegahan Dadah peringkat negeri dan kami berdua terlibat sebagai AJK Pertandingan Dikir Barat. Jumaat ini pula, Pak Abu akan membawa sekumpulan pelajar ke UKM untuk satu lawatan sambil belajar sementara teman pula diberi satu slot ceramah motivasi untuk pelajar-pelajar bukan Muslim.

Dalam kesibukan kami, kami telah tiga kali dikunjungi pensyarah penyelia, Tn Hj Zulkifli bin Maulud. Daripada kunjungan-kunjungan tersebut, kami dapati bahawa penyelia kami ini sebenarnya seorang yang amat teliti dan profesional dalam kerjanya. Dengan demikian, espektasi beliau terhadap kerja-kerja kami juga amat tinggi. Banyaklah teguran-teguran dan kritikan-kritikan, yang ada kalanya sinis, yang kami terima. Namun kesemua tunjuk ajar itu kami terima dengan hati yang terbuka kerana kami tahu beliau hanya mahu yang terbaik daripada kami. Cuma kami harap beliau tidak terlalu kecewa dengan kelemahan-kelemahan yang ada pada kami.

Meskipun begitu, kami sebenarnya merasa amat terhutang budi kepada beliau atas segala bimbingan dan keperihatinan yang ditunjukkan terhadap kami. Ia suatu pengalaman yang amat bernilai buat kami. Lantaran itu, kami berjanji akan terus memberi khidmat yang terbaik kepada pelajar-pelajar dan akan berusaha bersungguh-sungguh untuk memperbaiki segala kekurangan yang ada, khasnya dalam dua minggu lebih ini.

Kami harap rakan-rakan sekalian juga mendapat manfaat dan pengalaman yang berharga dalam latihan praktikum ini. Mudah-mudahan apa yang diperolehi dapat dijadikan bekalan yang berguna apabila balik ke sekolah (yang sebenarnya)nanti.

Selamat Maju Jaya.

Sunday, July 27, 2008

Failure Attribution and Its Relation to Future Expectancy of Success within the context of Drug Addiction (Ling Ming Hook & Dr Mohammad Haji-Yusuf)

The objective of this study was to examine why drugs inmates failed to overcome their drug habit and to find the correlation between their attribution and future expectancy of success.

To this end, Weiner's(1971) attribution theory was used as the basis of study. A total of 114 inmates(62 Malay male inmates and 52 Chinese male inmates) from Penjara Dadah, Kajang were selected as subjects. A specially designed questionnaire was set to measure inmates' failure attribution, drug-free expectancy and helping-behaviour expectancy. Data were analyzed using the SPSS-X(Statistical Packages for Social Sciences-X)program, with t-test and Pearson Correlation as statistical tools.

It was generally found that inmates failure attribution was not influenced by ethnic factor. However certain attribution patterns tend to exist as to how the inmates attributed their failure. Regarding future expectancy of success, it was found that there was a negative correlation between failure attribution and drug-free expectancy. But there was no significant correlation between failure attribution and helping-behaviour expectancy. Results lent only partial support to Weiner's(1971) attribution theory.

(Abstrak Kertas Kerja yang dibentangkan di Seminar Kebangsaan Pertama Persatuan Psikologi Malaysia(PSIMA)di UKM pada 27-28hb Februari 1989)

Thursday, July 24, 2008

What a Big Mess!

A renowned Freudian psychologist was conducting a mass hypnosis in a packed stadium. Everything went on well until towards the end of the session when suddenly the swinging watch he was holding slipped and fell onto the ground, upon which he could be heard exclaiming loudly over the PA system, "Oh, shit!!!"

Saturday, July 19, 2008

Ikut Jejak Langkah Ayah

Kaunselor: Apabila Abu besar nanti nak jadi apa?

Klien: Nak ikut jejak langkah ayah, cikgu. Nak jadi polis.

Kaunselor: Oh! Jadi ayah Abu seorang polis, ye?

Klien: Tidak, ayah seorang pencuri!!!

Friday, July 18, 2008

Berhati-hati Di Jalan Raya

Kring, Kring!(2X) Telefon berdering.

"Hello mak! Ini Andrew cakap. Saya akan balik hari ini, mak. Saya akan sampai rumah jam lebih kurang 7.30 malam."

"Baiklah nak!"

Dari saat itu juga, ibu Andrew sudah mula menunggu kepulangan anak kesayangannya. Kalau boleh, dia nak Andrew berada di sisinya pada waktu itu juga. Tapi apa boleh buat. Pulau Pinang, tempat Andrew kerja, bukannya sangat dekat Sitiawan. Jadi, mahu tak mahu, dia terpaksa menunggu.

Jam 7.30 malam - Andrew belum sampai. Tak apalah. Biasalah tu. Jam 8.30 malam - Andrew masih belum sampai. Sudah nampak sedikit kerisauan. Jam 9.00 malam - Andrew tak sampai-sampai juga. Semakin risau. Dan jam 9.20 malam - Tok! Tok! Tok! Tok! Tok!
Ada ketukan pada pintu.

"Ah! Andrew anakku akhirnya dah sampai."

Dengan langkah seribu harapan, ibu Andrew segera pergi membuka pintu. Dibukanya pintu. Alangkah terkejutnya apabila didapati orang yang berdiri di luar itu bukannya Andrew tetapi seorang inspektor poplis yang datang membawa berita Andrew terbunuh dalam satu kemalangan jalan raya dekat Taiping. Motosikal yang dibawanya telah berlanggar dengan sebuah lori dan Andrew mati di tempat kejadian.

Berita kematian Andrew begitu perit buat ibunya. Tiada ia sangka penantiannya boleh berakhir begitu rupa. Kemalangan cepat sekali mengubah nasib seseorang. Dalam sekelip mata sahaja, seorang ibu kehilangan anak kesayangannya yang dibelainya selama 21 tahun. Dalam sekelip mata sahaja saya kehilangan seorang kawan yang menjadi teman hidup saya sejak kecil lagi. Dan daalam sekelip mata sahaja, Andrew tinggal sebagai kenangan semata-mata.

Begitu senang sekali ia pergi tetapi begitu sukar sekali untuk diterima oleh orang-orang yang ditinggalkannya, khasnya keluarganya!

Namun apa yang berlaku ke atas keluarga Andrew itu bukanlah sesuatu yang luar biasa, yang jarang berlaku dalam hidup. Ia berlaku tiap-tiap hari kepada keluarga yang berlainan di Malaysia. Laporan polis menunjukkan purata sebanyak 530 kes kemalangan berlaku tiap-tiap hari dengan 17 kematian dalam sehari. Ini bermakna dalam tiap-tiap 3 minit akan berlaku 1 kemalangan dan dalam tiap-tiap 85 minit 1 kematian di atas jalan raya Malaysia,

Dan untuk setengah tahun ini sahaja, sehingga bulan Jun 1997, sebanyak 100 145 kes kemalangan telah berlaku membabitkan 3169 kematian. Ini satu angka yang cukup membimbangkan kerana dalam masa 6 bulan sahaja, jumlah mereka yang terbunuh dalam kemalangan jalan raya sudah melebihi jumlah semua orang yang ada di SMJK Nan Hwa ini, termasuk mereka dari sidang petang. Cubalah pelajar bayangkan betapa seriusnya masalah yang kita hadapi ini.

Namun ada kalanya, kita tidak rasa apa-apa pun melihat pada angka-angka seperti ini. Kita sudah begitu biasa dengannya sehingga kita lupa bahawa setiap angka ini ada ceritanya tersendiri. Cerita yang tragis yang mengandungi unsur-unsur seperti airmata, darah, kesakitan dan kehilangan orang yang tersayang. Mangsa kemalangan, seorang manusia, kini tinggal sebagai satu nombor sahaja dalam kiraan statistik kemalangan. Inilah yang amat menyedihkan.

Sebab utama kenapa kemalangan begitu banyak di Malaysia bukan kerana rakyat Malaysia tak pandai bawa kereta atau motor. Bukan juga kerana jalan-jalan di Malaysia terlalu licin. Tetapi kerana kepercayaan karut bahawa kemalangan itu hanya berlaku pada orang lain dan bukan pada diri sendiri.

Seolah-olah diri kita ini kebal, kuat, macam 'Superman'. Nak jadi 'Superman' atas jalan raya. Inilah kesilapan yang paling besar di dunia kerana ia boleh membuat kita, terutamanya golongan muda, leka dan lalai di atas jalan raya. Langsung mendedahkan rakyat Malaysia kepada pelbagai jenis kemalangan, termasuk juga kemalangan maut yang ditakuti.

Maut itu, para pelajar, tidak akan tunggu kita pergi kepadanya. Tidak! Tahu apa ia akan buat? Ia akan menunggu kita. Pada bila-bila masa dan di mana-mana saja. Di tepi jalan, di tengah jalan, di simpang jalan, di selekoh yang tajam, ia akan menunggu. Menunggu dan menunggu. Menunggu untuk mencengkam dan meragut nyawa orang-orang yang cuai dan ingin menunjuk-nunjuk.

Itulah sebabnya kadang-kadang apabila cikgu melihat setengah-setengah orang muda bawa motor, cikgu rasa takut. Mereka bukan sahaja tak suka pakai topi keledar tetapi juga suka berlumba-lumba atas jalan raya. Suka bawa laju-laju. Seolah-olah lebih laju lebih baik. Lebih bising, lebih bagus dan lebih bahaya, lagi seronok. Inilah yang dikatakan nak cari nahas. Kerana yang menunggu mereka dengan tangan yang terbuka itu siapa? MAUT! Yang sentiasa bersedia untuk membawa mereka ke dunia yang satu lagi. Dan sehngga ini, banyaklah yang dibawanya pergi. Banyak yang menjadi mangsa kemalangan.

Tahun ini genaplah 16 tahun kawan baik saya, Andrew, meninggal dunia. Namun dari semasa ke semasa, saya masih teringatkannya. Kerana saya masih merinduinya. Masih sayangkannya. Para pelajar sekalian, jangan biar perkara ini berlaku kepada orang-orang yang anda sayangi: kepada ibu bapa anda, keluarga anda dan sahabat handai anda. Berhati-hatilah ketika berada di atas jalan raya kerana maut itu tidaklah sejauh seperti yang disangkakan.

(Ucapan ini disampaikan di Perhimpunan Pagi SMJK Nan Hwa, Sitiawan, Perak sempena Kempen Keselamatan Jalan Raya pada bulan Ogos, 1997 demi memperingati pemergian kawan baik saya, Andrew Gong Wooi Chu, pada tangga 21.12.1981. Semoga Tuhan mencucri rahmat ke atas rohnya.)