Showing posts with label Isu-Isu Semasa. Show all posts
Showing posts with label Isu-Isu Semasa. Show all posts

Sunday, November 16, 2008

Persidangan Guru Bimbingan dan Kaunseling Peringkat Kebangsaan Ke-3

PERSIDANGAN Guru Bimbingan dan Kaunseling Peringkat Kebangsaan ke-3 selama empat hari di Melaka yang berakhir 6 November lalu, sebulat suara meluluskan enam resolusi untuk dipanjangkan kepada Kementerian Pelajaran bagi pertimbangan dan tindakan susulan.

Resolusi itu adalah memohon kepada kementerian melengkapkan kemudahan teknologi maklumat (ICT) seperti komputer riba dengan talian internet, di semua Unit Bimbingan dan Kaunseling setiap sekolah di seluruh negara.

Selain itu, meminta kementerian mengkaji semula peruntukan Bantuan Perkapita Unit Kaunseling dengan kadar RM 4.50 seorang kepada RM20 dan menyediakan peruntukan khas bagi menaiktaraf bilik serta kemudahan unit berkenaan untuk kesejahteraan murid.

Turut diluluskan, permohonan mewujudkan sub-unit bimbingan dan kaunseling di Sektor Hal Ehwal Murid di Kementerian Pelajaran, selain di Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan di jabatan pelajaran negeri serta Pegawai Bimbingan dan Kaunseling di pejabat pelajaran daerah.

Persidangan juga memohon kementerian menyediakan peruntukan khas bagi tujuan latihan peningkatan profesionalisme guru terbabit di peringkat daerah, negeri, kebangsaan dan antarabangsa (Program Pengantarabangsaan Sekolah).

Resolusi terakhir adalah memohon agar jawatan kaunselor Gred Terbuka di Bahagian Psikologi dan Kaunseling di peringkat kementerian, JPN dan daerah dikhususkan kepada guru memiliki latar belakang bidang berkenaan kerana lebih memahami dan menjiwai keperluan pelajar yang memerlukan perkhidmatan kaunseling.

Yang Dipertua Majlis Guru Kaunseling Kebangsaan, Zam Zam Omar, berkata resolusi itu diserahkan kepada Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussien pada majlis penutupan persidangan berkenaan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka.

Selain itu, Zam Zam berkata, kira-kira 500 peserta persidangan juga menyatakan iltizam kepada kementerian untuk terus memberi perkhidmatan bimbingan dan kaunseling secara profesional dalam suasana kondusif.

"Disamping itu, kami juga akan terus menggembleng seluruh tenaga, usaha dan kepakaran bagi menjadi peneraju utama dalam membangunkan modal insan yang mempunyai kepintaran emosi tinggi dan berakhlak mulia.

"Kami juga akan terus memikul tanggungjawab melaksanakan dasar, operasi, proses dan prosedur Kementerian Pelajaran dalam merealisasi Pelan Induk Pembangunan Pendidikan," katanya.

Monday, August 18, 2008

Selamat Bercuti

Salam Sejahtera kepada rakan-rakan KSPK sekalian.

Cuti intra-semester ini menandakan bahawa latihan praktikum kita telah berakhir. Syabas diucapkan kepada semua kerana telah menyempurnakan satu misi yang penting dalam kursus kita. Pastinya ramai yang rasa lega selepas enam minggu bergelut dengan pelbagai cabaran dan emosi di sekolah masing-masing.

Dalam tempoh lebih kurang satu minggu ini, gunakan masa yang terhad ini untuk melapangkan fikiran dan mengembalikan segala tenaga yang telah habis dikerah di sekolah.

Pergilah jalan-jalan dengan keluarga tersayang atau baliklah ke kampung menjenguk saudara mara yang sudah lama ditinggalkan. Atau temankanlah saya menonton Sukan Olimpik yang sedang berlangsung di Beijing.

Ini kerana selepas balik IPRM nanti, kita bakal dilanda tsunami assignment lagi. Kadang-kadang apabila terfikir lambakan kerja tugasan ini, rasa geram betul kerana tidak faham kenapa kursus setahun yang cuma bertaraf sijil ini dibebani dengan begitu banyak assignment.

Lagilah geram apabila mendapat tahu Kursus Diploma Pengurusan Kaunseling anjuran IAB cuma memakan masa setengah tahun sahaja!!

Namun kekadang terasa juga bahawa membuat banyak assignment ini mungkin ada hikmahnya. Kalau rajin buat assignment, banyaklah pengetahuan yang boleh diperolehi. Kalau banyak kesusahan yang kita tempuhi, lagi tinggilah darjah empati kita terhadap kesengsaraan klien nanti.

Mungkin elok juga kita mengambil sikap yang positif dalam hal ini. Buatlah yang terbaik. Jangan pula beri banyak masalah kepada pensyarah. Apa kata kita hadapi cabaran-cabaran semester akhir ini dengan lebih bersemangat lagi.

Jom kita gempur semester baru ini dengan satu hati!

Wednesday, July 30, 2008

Dah separuh jalan, teruskanlah!

Salam sejahtera dari SMK Dato' Haji Mohd. Redza.

Apa khabar kawan-kawan KSPK sekalian? Semoga semua berada dalam keadaan sihat-walafiat. Kini sudah masuk pertengahan minggu keempat praktikum kita. Teman dan Pak Abu sibuk dengan urusan-urusan di sekolah: sibuk menjalankan sesi B&K dan sibuk mengendalikan program sekolah.

Baru Sabtu lepas, sekolah kami menjadi tuan rumah kepada Karnival Pendidikan Pencegahan Dadah peringkat negeri dan kami berdua terlibat sebagai AJK Pertandingan Dikir Barat. Jumaat ini pula, Pak Abu akan membawa sekumpulan pelajar ke UKM untuk satu lawatan sambil belajar sementara teman pula diberi satu slot ceramah motivasi untuk pelajar-pelajar bukan Muslim.

Dalam kesibukan kami, kami telah tiga kali dikunjungi pensyarah penyelia, Tn Hj Zulkifli bin Maulud. Daripada kunjungan-kunjungan tersebut, kami dapati bahawa penyelia kami ini sebenarnya seorang yang amat teliti dan profesional dalam kerjanya. Dengan demikian, espektasi beliau terhadap kerja-kerja kami juga amat tinggi. Banyaklah teguran-teguran dan kritikan-kritikan, yang ada kalanya sinis, yang kami terima. Namun kesemua tunjuk ajar itu kami terima dengan hati yang terbuka kerana kami tahu beliau hanya mahu yang terbaik daripada kami. Cuma kami harap beliau tidak terlalu kecewa dengan kelemahan-kelemahan yang ada pada kami.

Meskipun begitu, kami sebenarnya merasa amat terhutang budi kepada beliau atas segala bimbingan dan keperihatinan yang ditunjukkan terhadap kami. Ia suatu pengalaman yang amat bernilai buat kami. Lantaran itu, kami berjanji akan terus memberi khidmat yang terbaik kepada pelajar-pelajar dan akan berusaha bersungguh-sungguh untuk memperbaiki segala kekurangan yang ada, khasnya dalam dua minggu lebih ini.

Kami harap rakan-rakan sekalian juga mendapat manfaat dan pengalaman yang berharga dalam latihan praktikum ini. Mudah-mudahan apa yang diperolehi dapat dijadikan bekalan yang berguna apabila balik ke sekolah (yang sebenarnya)nanti.

Selamat Maju Jaya.

Saturday, July 5, 2008

Selamat Menjalani Latihan Praktikum

Minggu depan rakan-rakan kursus KSPK akan keluar menjalani praktikum di sekolah-sekolah yang dipilih di sekitar Seremban selama enam minggu. Sepanjang tempoh ini masing-masing akan sibuk dengan kerja masing-masing dan mungkin tiada peluang untuk bersua muka antara satu sama lain.

Dalam pada itu pula, orang-orang yang 'digeruni' iaitu pensyarah-pensyarah penyelia akan datang untuk bertanya khabar kira-kira tiga kali dalam satu setengah bulan itu. Seronoklah kalau dapat penyelia yang open, understanding dan lenient dengan markah. Taklah tension sangat.

Walau bagaimanapun dengan persediaan selama setengah tahun ini, teman percaya semua akan berjalan dengan baik. Sebagai guru bimbingan dan kaunseling, kita mesti bersedia untuk berjuang dalam apa jua keadaan sekalipun; di bawah sesiapa saja dan di mana-mana juga.

Buatlah yang terbaik. Jangan lupa rakan-rakan di sekolah lain. Updatelah berita terkini di sekolah anda di blog anda. Kongsilah kisah suka dan duka anda, terutama selepas dikunjungi penyelia. Dan kalau ada jamuan makan, jangan lupa pada teman.

Selamat Maju Jaya!